ALKAFI 1145 ADAKAH DIBOLEHKAN UNTUK MENGUGURKAN KANDUNGAN YANG BERUSIA 4 BULAN
SOALAN
Jika anak di dalam kandungan yang berusia 4 bulan mengalami kecacatan seperti tempurung kepala yang tidak sempurna, adakah dibolehkan untuk menggugurkan kandungan tersebut?
JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.
Pengguguran bayi dikalangan wanita Islam merupakan satu fenomena semasa yang menjadi permasalahan bersifat domestik dan antarabangsa. Namun, ia bukanlah satu perkara baru dan telah dibincangkan oleh para ulama’ dalam kitab-kitab Fiqh klasik dan moden.
Hukum menggugurkan bayi dalam kandungan boleh dibahagikan kepada dua bahagian; iaitu menggugurkan kandungan sebelum berusia 4 bulan dan menggugurkannya selepas berusia 4 bulan. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud RA:
إنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمَاً نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنفُخُ فِيْهِ الرٌّوْحَ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap daripada kamu dihimpunkan penciptaannya di dalam rahim perut ibunya selama 40 hari, kemudian jadilah (nutfah) itu segumpal darah selama tempoh itu juga, kemudian jadilah (`alaqah) itu segumpal daging selama tempoh itu juga, kemudian diutuskan malaikat dan ditiupkan ke dalamnya roh”.
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Menggugurkan kandungan yang berusia empat bulan atau kurang daripadanya adalah termasuk dalam perkara yang menjadi perselisihan di kalangan para ulama’ kerana dalam tempoh tersebut roh belum lagi ditiupkan ke dalam kandungan. Majoriti ulama mengatakan bahawa hukumnya adalah haram. Sebahagian lain mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa hukumnya adalah harus dengan syarat-syarat tertentu. Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah (2/58-59), Nihayah al-Muhtaj (8/416). Boleh rujuk perbahasan dalam masalah ini melalui artikel kami yang terdahulu dibawah tajuk: “Al-Kafi #659: Hukum Gugurkan Janin Bagi Wanita Yang Sibuk Berkerja”[1]
Adapun menggugurkan kandungan selepas berusia 4 bulan, para ulama’ bersepakat bahawa hukumnya haram kerana pada usia tersebut, roh telah ditiupkan ke dalam kandungan ibu berdasarkan hadith Ibn Mas’ud RA. Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah (2/57), al-Mughni (8/418).
Namun, diharuskan menggugurkan bayi di dalam kandungan walaupun sudah ditiupkan roh kepadanya (selepas berusia 4 bulan), jika ia boleh mengancam nyawa ibunya. Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah (2/57)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 yang telah diputuskan pada 7 Mac 1990 menyatakan:
(1) Menurut Ijmak Fuqaha’, haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.
(2) Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami dan isteri.
(3) Ijmak Fuqaha’ berpendapat hukum pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Muzakarah telah mengambil keputusan bahawa adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Kesimpulan
Berdasarkan nas, perbincangan dan fatwa di atas, kami simpulkan bahawa bayi di dalam kandungan yang berusia 4 bulan dan ke atas tidak boleh digugurkan kecuali pengguguran itu bertujuan untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk dan setelah mendapat nasihat daripada pakar-pakar perubatan yang berautoriti.
Kami menasihatkan agar pihak yang bertanya mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar perubatan yang berautoriti mengenai kedudukan bayi di dalam kandungan dan kesan yang mungkin berlaku kepada ibu dan bayi jika bayi di dalam kandungan tersebut tidak digugurkan.
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
[1] /ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/663-al-kafi-659-hukum-gugurkan-janin-bagi-wanita-yang-sibuk-berkerja