NIAT CARA SOLAT TAHAJJUD Serta DOA TAHAJJUD Lengkap

Bagaimana cara melakukan Solat Tahajjud?

Panduan ini akan membimbing anda melakukan solat sunat tahajjud secara lengkap, beserta dengan Doa Tahajjud.

Apa yang penting:

Anda akan dibimbing langkah demi langkah sehingga selesai.

Setiap bacaan juga dipermudahkan dalam ejaan rumi (jika anda menghadapi kesukaran membaca tulisan arab)

Tanpa buang masa mari kita ikuti panduan ini..

Apakah maksud Tahajjud?

Tahajjud menurut penggunaan bahasa bermaksud berjaga malam atau meninggalkan tidur.

Oleh itu, Solat Sunat Tahajjud (صلاة سنة التهجد) merupakan solat sunat yang dilakukan pada waktu malam selepas terbangun dari tidur.

Solat itu juga disebut sebagai Qiyamullail.

Solat sunat tahajjud digalakkan agar didirikan setiap malam.

Solat Tahajjud ini seharusnya menjadi amalan lazim setiap muslim dalam usaha mendapat keredhaan dan keampunan Allah SWT.

Ini kerana melalui Solat Tahajjud ini seseorang hamba dapat bermunajat dan mengadu secara langsung kepada Allah SWT didalam suasana yang cukup hening dan sunyi di kala manusia lain sedang lena tidur.

Suasana ini menghadirkan rasa kekerdilan, keinsafan dan kelemahan diri sebagai hamba Allah yang hakikatnya tidak boleh lari daripada kebergantungan kepada Allah semata-mata.

> Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat tahajjud padanya sebagai solat tambahan bagi kamu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

– Surah al-Isra’ ayat 79
Solat Sunat Tahajjud sangat digalakkan dilakukan bersama-sama dengan Solat Taubat

Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.

Dalam sebuah hadis menceritakan bahawa Rasulullah SAW begitu istiqamah melakukan Solat Sunat Tahajjud atau solat malam sehingga kaki baginda bengkak-bengkak kerana lamanya berdiri dalam solat.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa:

> Rasulullah SAW pernah melaksanakan solat sehingga kedua-dua kaki Baginda bengkak (kerana lamanya berdiri). Seseorang pernah bertanya kepada Baginda: Mengapakah kamu melakukan hal sedemikian sedangkan sudah tertulis bahawa Allah telah mengampuni segala dosa kamu yang telah lalu dan akan datang. Baginda pun bersabda: Adakah aku tidak boleh menjadi hamba yang banyak bersyukur kepadaNya”

– Hadis riwayat al-Tirmizi
Bilakah waktu melakukan Solat Sunat Tahajjud?

Solat Tahajjud dilaksanakan sebaik sahaja terbangun dari tidur.

Sebaik-baiknya solat ini dilaksanakan pada akhir malam yakni sebelum terbit fajar waktu subuh.

Waktu yang afdal untuk mengerjakan solat tahajjud adalah pada 1/3 malam yang terakhir – iaitu sekitar pukul 3 atau 4 pagi – iaitu selepas tidur separuh malam dan waktu solat ini berterusan sehingga masuk waktu Subuh.

Solat Tahajjud Ketika Bangun Sahur
> Ketika bangun sahur, adakah dibolehkan melakukan solat tahajjud?

Dan jika boleh, yang mana perlu didahulukan, solat atau sahur terlebih dahulu?

Jawapanya, YA tentu sekali boleh.

Sekiranya seseorang itu bangun untuk bersahur, maka sebaik-sebaiknya kerjakanlah solat sunat tahajjud dahulu, kemudian barulah makan sahurnya.

Oleh itu, selagi mana belum masuk subuh, maka masih ada waktu untuk mengerjakan solat sunat tahajjud.

Adakah Wajib Tidur Terlebih Dahulu Sebelum Solat Tahajjud?
Para ulama’ berselisih pendapat mengenai perkara ini.

Menurut Imam al-Qurtubi, tahajjud bermaksud terjaga dari tidur. Maka perkataan tahajjud itu dijadikan nama bagi solat yakni Solat Sunat Tahajjud.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Hajjaj bin Umar, sahabat Rasulullah SAW bahawa beliau berkata:

> Adakah salah seorang daripada kamu menyangka apabila dia berjaga sepanjang malam, dia dikira bertahajjud. Tahajjud itu adalah mendirikan solat selepas tidur, kemudian mendirikan solat selepas tidur, kemudian mendirikan solat selepas tidur. Begitulah cara Rasulullah SAW mendirikan solat malam”

– Riwayat Ismail bin Ishaq
Justeru itu, jika seseorang itu sengaja berjaga malam tanpa tidur lalu dia mengerjakan Solat Tahajjud di akhir malam, maka dia TETAP mendapat ganjaran atas solat yang dikerjakan itu. Dalam hal ini, tidur tidak menjadi syarat bagi solat sunat tahajjud.

Namun apa yang TERBAIK dan PALING AFDAL adalahtidur dahulukemudian bangun di akhir malam untuk mengerjakan Solat Tahajjud kerana menepati maksud dan tujuan solat itu sendiri, iaitu solat selepas terjaga dari tidur dan mengikut sunnah Rasulullah SAW dalam mengerjakannya.

Hal ini juga menggambarkan kesungguhan dan keazaman seseorang untuk bangun pada akhir malam bagi melawan rasa malas dan rasa mengantuknya.

Apabila bangkit selepas tidur di tengah malam, ambillah wuduk.

Seterusnya mengadap arah kiblat dan ucapkan lafaz niat solat solat tahajjud ini:

Usolli Sunnatat-Tahajjudi Rak’ataini Lilaahi Ta’ala

Atau niat dalam Bahasa Melayu:

> Sahaja aku solat tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala

Berapa rakaat Solat Tahajjud?

Tidak ada keterangan khusus berkenaan solat sunat tahajjud secara terperinci.

Bilangan rakaatnya tidak terbatas, tetapi sekurang-kurangnya dua rakaat dengan satu salam bagi setiap dua rakaat.

Solat sunat tahajjud boleh dikerjakan sebanyak dua, empat, enam, lapandan dua belas rakaat.— tetapi ia boleh dilakukan sebanyak mungking mengikut kemampuan anda.

Nabi SAW bersabda dalam sebuat hadis:

> Solatlah daripada sebahagian malam sekalipun empat rakaat, solatlah sekalipun dua rakaat. Tidak ada daripada ahli keluarga yang dikenali yang mana mereka sentiasa bersolat malam kecuali akan diserukan kepada mereka oleh seorang penyeru: Wahai ahli keluarga ini! Bangunlah bersolat malam.”

– Hadis riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Imam
Tetapi apa yang lebih penting, sebolehnya ia dilakukan secara istiqamah setiap malam walaupun hanya dilakukan 2 rakaat sahaja.

Perlaksanaan cara solat tahajjud ini adalah sama seperti solat-solat sunat yang lain.

Cara Mengerjakan Solat Tahajjud

Di bawah ini merupakan cara melaksanakan solat Sunat Tahajjud secara langkah demi langkah.

Cara solat tahajjud dari segi pergerakan adalah sama seperti solat-solat yang lain.

Ringkasan Cara Solat Sunat Tahajjud
Berikut adalah ringkasan untuk mengerjakan solat ini:

1. Niat Solat Tahajjud
2. Rakaat Pertama
3. Rakaat Kedua
4. Membaca Doa Tahajjud

Cara lengkap mengerjakan Solat Sunat Tahajjud adalah seperti berikut:

Rakaat Pertama

1. Solat Dimulakan Dengan Takbiratul ihram.

Niat Solat Sunat Tahajjud

Semasa mengangkat takbir, bacakan niat solat sunat tahajjud dalam hati:

Usolli Sunnatat-Tahajjudi Rak’ataini Lilaahi Ta’ala

Atau niat dalam Bahasa Melayu:

> Sahaja aku solat tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala

* Niat solat juga boleh dilafazkan sebelum mengangkat takbir.

2. Bacalah Surah al-Fatihah.

Pada kebiasaannya, solat sunat terus dibaca al fatihah tanpa doa iftitah terlebih dahulu.

Tetapi jika ingin membaca iftitah juga, maka ia adalah perbuatan sunat (dapat pahala membaca)

Surah al-Fatihahadalah sebahagian daripada rukun solat. Oleh itu ia wajib dibacakan dalam semua solat.

> Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

3. Kemudian, Baca Surah al-Kafirun

Selesai baca al-Fatihah, maka bacalah pula surah pendek daripada mana-mana surah al-Quran.

Antaranya surah pendek yang boleh dibaca adalah al-Kafirun:

> Qul Yā Ayyuhal-Kāfirūn. Lā A‘Budu Mā Ta‘Budūn. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Wa Lā Ana ‘Ābidum Mā ‘Abattum. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Lakum Dīnukum Wa Liya Dīn

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.

4. Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.

Dalam rukuk ini, bacalah bacaan rukuk:

SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih

5. Kemudian Bangun Iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:

Sami Allahu Liman Hamidah. Rabbana Lakal Hamdh

6. Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih

7. Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

Baca bacaan antara dua sujud:

Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni

8. Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih

9. Duduk Istirahat Seketika Sebelum Bangun Untuk Rakaat Kedua.

Sebelum bangun ke rakaat kedua, duduk istirahat sebentar (lebih kurang 3 saat) sebelum bangun berdiri untuk rakaat seterusnya.

Posisi Duduk IstirahatRakaat Kedua

10. Rakaat Kedua Dimulai Dengan Lafaz Takbirintiqalat

Selepas bangun dari duduk istirahah, maka bertakbirlah untuk rakaat kedua.

(Takbir intiqalat bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).

11. Baca Surah al-Fatihah

Seperti rakaat pertama, sekali lagi pada rakaat kedua dibacakan surah al-Fatihah.

Surah al-Fatihah> Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

12. Seterusnya Membaca al-Ikhlas

Selesai membacaal-Fatihah, maka bacalah pulasurah al-ikhlas:

> Qul Huwallāhu Aḥad. Allāhuṣ-Ṣamad. Lam Yalid Wa Lam Yūlad. Wa Lam Yakul Lahū Kufuwan Aḥad

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.

* Seperti rakaat pertama, kita bebas untuk membaca mana-mana surah yang kita mahu dan ingat.

13. Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.

Dalam rukuk ini, bacalah bacaan rukuk:

SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih

14. Kemudian Bangun Iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:

Sami Allahu Liman Hamidah. Rabbana Lakal Hamdh

15. Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih

16. Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

Baca bacaan antara dua sujud:

Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni

17. Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih

18. Bangun Dari Sujud, Terus Lakukantahiyyat akhir

19. Selesai Tahiyat, Solat Diakhiri Dengan Memberi Salam.

Akhir solat dengan memberi salam dua kali, bermula dari kanan kemudian memalingkan muka ke kiri.

Palingkan muka ke sebelah kanan, dan ucapkan salam seperti berikut:

Assalamualaikum Warahmatullah

Maksudnya:

Salam sejahtera untuk kamu, juga rahmat Allah dan berkatNya

… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:

Assalamualaikum Warahmatullah

Sekiranya ingin menambah lagi solat sunat Tahajjud, maka boleh meneruskan lagi dengan dua rakaat — dua rakaat selepas memberi salam dengan mengulangi semula niat solat sunat Tahajjud.

Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat Tahajjud sepanjang hayatnya.

Selesai solat, Rasulullah SAW membaca doa berikut:

> Allahumma Lakal-Hamdu Anta Qoyyimus-SamaWaa Tiwal-Ardhi Waman Fii-Hinna, Walakal Hamdu Laka Mulkus-Samaa Waa Tiwal-Ardhi Waman Fii-Hinna, Walakal-Hamdu NuuRus-Samaa Waa Tiwal-Ardhi, Walakal-Hamdu Antal-Haqq WaWa’-Dukal Haqq WaLiqoo-Uka Haqq WaQauLuka Haqq Wal-Jannatu Haqq WanNaRu Haqq, WanNabiyYuuna Haqq, WaMuHamMaDun Sollallahu ‘AlaihiWasallam Haqq, WasSa-‘ATu Haqq

AllaHumMa Laka AslamTu, Wabika Amantu, Wa ‘Alaika TawakKalTu Wa iLaiKa AnabTu Wabika KhoSomTu, Wa iLaiKa Hakamtu, FagFirLi MaaQadDamTu, WaMaa Akh-KhorTu WaMaa AsRarTu WaMaa A’-LanTu, AnTal MuQodDimu Wa Antal Mu-Akh-Khiru, Laa iLaha illa Anta Au Laa iLaha GhoiRuKa WaLaa HauLa Walaa QuwWata illa Billahi

Maksudnya:

Ya Allah, bagiMu segala puji, Engkaulah penegak langit dan bumi serta segala isinya.

BagiMulah segala puji, Engkau raja penguasa langit dan bumi. BagiMulah segala puji, pemancar cahaya langit dan bumi.

BagiMulah segala puji, Engkaulah yang benar, janjiMu adalah benar, perjumpaanMu itu adalah benar, firmanMu adalah benar, syurga adalah benar, neraka adalah benar, para nabi adalah benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.

Ya Allah, kepadaMulah aku berserah diri, kepadaMulah aku kembali, kepadaMulah aku rindu, dan kepada Engkaulah aku berhukum. Ampuni aku atas kesalahan yang telah aku lakukan dan yang sebelumnya, baik yang aku sembunyikan mahupun yang dinyatakan.

Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan (kekuasaan) Allah.

Doa ini adalah menurut riwayat Ibn Majah daripada Abdullah Ibn Abbas dan riwayat al-Bukhari, no 1120, 6317, 7385 dan Muslim no 769

Fadhilat & Kelebihan Solat Tahajjud

Banyak kelebihan melakukan solat sunat tahajjud.

Antara kelebihan solat sunat tahajjud ialah makbul doa, tenang hati serta fikiran, murah rezeki dan mendapat perlindungan daripada pengkhianatan manusia.

Yang paling penting adalah waktu ini pintu taubat terbuka luas.

Antara dalil kelebihan solat sunat Tahajjud adalah:

1. Pencegah Dosa dan Menghalang Penyakit

Rasulullah SAW bersabda:

> kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada TuhanMu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari amalan dosa dan dapat menghalangi penyakit

— Riwayat Tirmizi dan Ahmad R.A
Malah, dengan solat tahajjud juga akan menjadikan diri kita lebih kuat dan lebih produktif.

Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa tahajud adalah kehormatan seseorang mukmin kerana ia memberikan masa peribadi antara kita dengan Tuhan.

Jika kita percaya bahawa kita milik-Nya dan kita akan kembali kepada-Nya, maka laburkan sedikit masa spiritual kita dengan tahajud dan lihatlah bagaimana kekuatan dan produktiviti ktia akan meningkat!

2. Solat Yang Paling Utama Selepas Solat Fardu

Abu Hurairah RA meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

> Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadan adalah bulan Allah Muharram dan sebaik-baik solat selepas solat fardu adalah solat malam (tahajjud)”

– Hadis riwayat Muslim
Dalam hadis ini, solat tahajjud disebut sebagai solat sunat yang afdal dilakukan selepas solat fardu lima waktu. Ini sekaligus menunjukkan kelebihan yang terdapat dalam solat tersebut.

3. Dimasukkan Dalam Syurga Tanpa Sebarang Hisab

Rasulullah SAW bersabda:

> Seluruh manusia akan dihimpunkan di suatu kawasan pada hari kiamat, lalu kedengaran satu suara yang menyeru: ‘Siapakah (di dunia) yang telah meninggalkan tempat-tempat tidur mereka (untuk qiamullail)?’ Lalu sekumpulan kecil yang bangun malam itu masuk syurga tanpa hisab. Selepas itu barulah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dilakukan hisab kepada semua manusia

— Riwayat al-Baihaqi daripada Asma binti Yazid
4. Diberikan Kebaikan Oleh Allah SWT Pada Setiap Malam

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

> Sesungguhnya pada malam hari ada satu waktu, tidak ada seorang Muslim yang meminta kebaikan dari urusan dunia dan akhirat melainkan Allah mengabulkan permintaannya. Hal tersebut berlaku setiap malam”

– Hadis riwayat Muslim
Waktu yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah waktu selepas pertengahan malam yang mana kebaikan yang dipohon adalah melalui Solat Sunat Tahajjud ataupun Qiyamullail.

5. Diberi Rahmat Kepada Pasangan Suami Isteri Yang Solat Malam

Abu Hurairah RA juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

> Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun pada malam hari, kemudian melakukan solat dan membangunkan isterinya (untuk solat bersama). Ketika isterinya enggan bangun dari tidurnya, maka dia merenjiskan air ke wajahnya. Dan semoga Allah merahmati seorang isteri yang bangun pada malam hari, lalu melakukan solat dan membangunkan suaminya. Ketika suaminya enggan bangun dari tidurnya, maka dia pun merenjiskan air ke wajahnya”

– Hadis riwayat Abu Daud
Hadis ini mengkhabarkan bahawa Allah SWT mengurniakan rahmat kepada pasangan suami isteri yang bangun pada waktu malam untuk melaksanakan solat tahajjud yang mana suami atau isteri tersebut membangunkan pasangannya untuk solat bersama dengan kasih sayang.

6. Benteng Dan Perisai Yang Kuat Untuk Menangkis Syaitan

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menegaskan bahawa solat tahajjud merupakan benteng dan perisai yang kuat dalam menangkis dan meleraikan kawalan syaitan.

Baginda bersabda:

> Ketika kamu tidur, syaitan akan membuat tiga ikatan di leher kamu. Di setiap ikatan syaitan akan mengatakan: Malam masih panjang, tidurlah! Jika dia bangun lalu berzikir kepada Allah, lerailah satu ikatan. Kemudian jika dia berwuduk, lerailah lagi satu ikatan berikutnya. Kemudian jika dia mengerjakan solat, lerailah ikatan terakhir. Pada pagi hari dia akan bersemangat dan bergembira. Jika dia tidak melakukan seperti ini, jiwanya menjadi kotor dan malas”

– Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah
Realitinya, hadis ini merupakan sumber motivasi dan galakan bagi seorang muslim untuk menjalani hari-harinya dengan penuh semangat di samping mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT di waktu orang lain sedang lena tidur.

Rahsianya adalah bangun malam, mensucikan diri dengan berwuduk lalu mengerjakan solat malam.

Itulah sebaik-baik perisai untuk melindungi diri daripada bisikan syaitan.

* Untuk membersihkan hati kita daripada sebarang kebencian terhadap orang Islam lain.
* Untuk sentiasa mempunyai rasa takut dalam hati kita terhadap Tuhan dan menyedari bahawa hidup kita sangat singkat.
* Untuk memahami manfaat tahajud.
* Untuk mencintai Allah, dan mempunyai iman yang kuat apabila kita bangun solat malam ‘memanggil’ Allah.

Lima Ganjaran Tahajjud di Dunia
1. Jauh Daripada Semua Penyakit

Salman Al-Farisimenceritakan, Rasulullah SAW pernah bersabda;

> Kerjakanlah solat malam, kerana itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, jalan mendekatkan diri kepada Tuhan, penebus kesalahan, pencegah dosa, serta penghindar penyakit.”

2. Dikurniakan Kesan Takwa Pada Wajah

Pernahkah melihat wajah-wajah ahli ibadah yang mengamalkan solat malam?

Bukankah wajah mereka kelihatan berseri dan tenang?

Itulah bukti anugerah yang Allah berikan kepadanya.

Bukan itu sahaja, dengan melihat wajah mereka sahaja pun kita berasa cukup bahagia dan seronok, bahkan terasa mahu melihatnya berkali-kali.

3. Dikasihi Oleh Semua Manusia

Sesiapa yang mengamalkan ibadah malam pasti akan dikasihi oleh setiap manusia, apatah lagi oleh Allah SWT.

Begitulah ciri-ciri orang yang beriman dan beramal dengan Allah pasti akan mendapat kasih sayang dari sesiapa pun.

4. Percakapan Dan Perbuatannya Mengandungi Hikmah (Kebijaksanaan)

Sesungguhnya ciri-ciri mereka yang beriman adalah yang menjaga adab dan pertuturan kata-kata mereka.

Golongan ini sudah tentu tidak berbicara hal yang melalaikan tetapi setiap kata-kata mereka adalah yang bermanfaat dan berhikmah.

Begitu juga dalam perbuatan dan tindak tanduk mereka yang sentiasa berusaha menjauhi perkara yang melalaikan dan berlumba-lumba melakukan kebaikan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

5. Dikurniakan Kekuatan Dan Rezeki (Halal dan Diberkati)

Dengan menunaikan setiap amal ibadah kepada Allah SWT, tidak kiralah apapun ibadahnya pasti akan ditunaikan rezeki yang melimpah-ruah, seperti makanan yang enak, kesihatan, keluarga yang bahagia dan sebagainya.

Bahkan setiap rezeki akan diberkati oleh Allah SWT.

Penutup: Allah Membuka Pintu Langit Kepada HambaNya
Solat malam adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan kita dengan Allah.

Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya.

Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula.

Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.

Semoga panduan ini dapat membantu anda.

Nota Rujukan:

1. Indahnya Hidup Bersyariat — Allahyarham Dato’ Ismail Kamus [Pautan]
2. Ensiklopedia Solat — Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif
3. Ensiklopedia A-Z Tentang Solat — Dr Nik Yusri Musa
4. Ensiklopedia Solat: Solat Tahajjud — TV3 Official [Pautan]
5. Bimbingan Lengkap Solat Sunat — Dato’ Dr. Mahmood Haji Abdul Majib, Rohidzir Rais [Pautan]
6. Solat Sunat Harian — Ustaz Mohd Faez B. Mohd Shah al-Hashimi
7. 1157 Persoalan Solat — Ustaz Muhadir Haji Joll [Pautan]

Suka Apa Yang Anda Baca?
Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!

Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.