Niat Cara Solat Sunat Dhuha Panduan Lengkap

Solat Sunat Dhuha yang dikenali sebagai solat al-Awwabin ini merupakan solat sunat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh setiap muslim. Solat sunat ini dilakukan sebagai tanda syukur keatas nikmat dan keberkatan hidup yang diberikan oleh Allah SWT.

Banyak rezeki dan nikmat yang perlu kita syukuri setiap hari seperti udara yang kita hirup, makanan yang cukup, tempat tinggal yang selesa dan lain-lain lagi.

Solat Sunat Dhuha mempunyai fadhilat yang sangat besar dan sekiranya kita istiqamah dalam melakukannya, pasti kita akan dapat melihat perubahan yang baik dalam hidup kita.

Solat sunat yang diwasiatkan supaya tidak ditinggalkan

Nabi Muhammad SAW sendiri sangat menggalakkan kita untuk melakukan Solat Sunat Dhuha, Baginda telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA agar tidak meninggalkan solat Dhuha di dalam hadis berikut:

Maksudnya: : ”Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.” ( Riwayat al-Bukhari (1880) dan Muslim (721) ).

Mari kita lihat nota-nota penting berkenaan tatacara Solat Sunat Dhuha seperti di bawah.

Waktu solat yang sesuai

Lebih kurang minit selepas waktu syuruk (anggaran waktu selamat pukul 8.00 pagi) dan berakhir sebelum masuk waktu zohor. Paling afdhal dilakukan ditengah-tengah waktunya iaitu lebih kurang dalam pukul 9.30-10.00 pagi.

Niat solat sunat dhuha

Usolli Sunnata Dhuha Rak’ataini Lillahi Ta’ala.

Maksudnya: “Sahaja aku Solat Sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Cara solat sunat dhuha

Berikut merupakan antara cara untuk melakukan Solat Sunat Dhuha yang dianjur untuk dilakukan:

* Bacaan pada rakaat pertama dibaca surah al-Fatihah dan surah As-Syams
* Bacaan pada rakaat kedua dibaca surah al-Fatihah dan Surah Ad-Dhuha

Ataupun

* Bacaan pada rakaat pertama dibaca surah al-Fatihah dan surah Al-Kafirun
* Bacaan pada rakaat kedua dibaca surah al-Fatihah dan Surah Al-Iklhlas

Rakaat Pertama

1. Takbiratul Ihram berserta niat

2. Membaca Surah Al-Fatihah

Alhamdulillah hirabb bil ‘alamin. Arrahman nirrahim. Maliki yaumiddin. Iyyakana’ budu iyya kanasta’in. Ihdinas siratalmustaqim. Siratallazi na an’amta ‘alaihim ghairil maghrdu bia’laim him waladdollin.

Ertinya; “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam.Maha Pemurah,Maha Penyayang.Memiliki hari Pembalasan.Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan.Tunjukilah kami jalan yang lurus,(iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka,bukan (jalan ) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”

3. Diikuti dengan membaca surah As-syams

4. Teruskan rakaat pertama hingga habis

Rakaat Kedua

1. Takbiratul Intiqal (Takbir perpindahan rakaat)

2. Membaca Surah Al-Fatihah

3. Diikuti dengan membaca Surah Ad-Dhuha

Sekiranya tidak menghafal dua surah ini, kita juga boleh membaca surah lain seperti al-Kafirun dan al-Ikhlas

4. Teruskan rakaat hingga ke sujud

5. Ketika sujud akhir disertai zikir sebanyak 40 kali. (zikir ini tidak wajib)

Wahab li ya wahhabu ‘ilman wa hikmatan warzuqni ya razzaqu kun li musahhala

Maksudnya: Berikan kepadaku, wahai Tuhan yang Maha Memberi akan ilmu dan hikmah dan murahkanlah rezeki kepadaku, wahai Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki jadikan ia mudah bagiku

6. Beri Salam

Jumlah rakaat

Solat Sunat Dhuha dilakukan sebanyak 2 rakaat hingga 12 rakaat. (setiap 2 rakaat 1 salam). Paling banyak dikerjakan oleh Rasullulah adalah sebanyak 8 rakaat sahaja.

Kelebihan Solat Sunat Dhuha

Jika dibaca tentang kelebihan-kelebihan melakukan dan mengamalkan Solat Sunat Dhuha ini, pastinya kita akan berasa lebih semangat untuk melakukannya dan berat hati untuk meninggalkannya. Antara kelebihan Solat Sunat Dhuha ialah:

1. Mendapat pengampunan dosa daripada Allah SWT

Kerjakanlah solat Dhuha kerana ia adalah salah satu ibadah yang mampu menghapuskan dosa dan ia perlulah dikerjakan secara berterusan untuk mendapat kelebihan tersebut.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:

> “Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha dengan istiqamah nescaya akan diampuni dosanya oleh Allah sekalipun dosa itu sebanyak buih di lautan.

2. Dijanjikan balasan yang baik di akhirat nanti.

Mereka yang melakukan solat sunat Dhuha akan diberikan ganjaran yang besar iaitu syurga Allah SWT dan syurga tersebut khas untuk mereka yang mengerjakan solat sunat tersebut.

Rasulullah SAW bersabda:

> “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan ‘Dhuha’. Maka apabila tiba hari kiamat kelak, berserulah (malaikat) penyeru: “Manakah orang-orang yang telah mengamalkan solat Dhuha; Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam syurga dengan rahmat Allah.”

(HR At-Tabrani)
3. Mendapat pahala yang menyamai pahala sedekah.

Sepatutnya kita perlu berlumba-lumba untuk memberi sedeqah. Tetapi jika kita tidak mampu, salah satu cara yang kita boleh dapatkan pahala sama seperti orang bersedeqah adalah dengan melakukan solat sunat dhuha

Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

> “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah, Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat kepada perkara baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.”

( Riwayat Muslim (720)

Doa selepas solat Dhuha (Bacaan Rumi)

Sesudah salam, bacalah doa ini. Doa ini mempunyai maksud yang cukup indah untuk kita hayati:

اللّهُمَّ إِنَّ الضّحَاءَ ضَحَاؤُكَ ، وَالْبَهَاءَ بَهَاؤُكَ ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ ، وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ

Allahumma inna dhuha a dhuha uk, wal baha u baha uk, wal jamalu jamaluk, wal quwwata quwatuk, wal qudrata qudrat, wal ‘ismata ‘ismatuk

Maksudnya: “Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuha-Mu, kecantikan ialah kecantikan-Mu, keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu, kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu.

اللّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ ، وَإِنْ كَانَ فِي اْلأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ ، وَإِنْ كَانَ مُعْسِرًا فَيَسِّرْهُ ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ ، وَإِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ

Allahumma in kana rizqi fis sama’ fa anzilhu, wa in kana fil ardhi fa akhrijhu wa inkana mu ‘assiran fa yasirhu, wa in kana haraman fatohhirhu wa in kana ba’idan faqarribhu

Ya Allah, jika rezekiku masih di atas langit turunkanlah, dan jika ada di dalam bumi keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah,

بِحَقِّ ضَحَائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ ، آتِنِي مَا آتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ

Bihaqqi dhuha ika wa baha ika wa jamalika wa quwwatika wa qudratika a tini ma ataita min ‘ibadikas solihin.

Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Penutup

Kesimpulannya, Solat Sunat Dhuha ini menjanjikan banyak kelebihan kepada orang yang istiqamah dalam melakukannya.

Sebagai seorang muslim, selain melakukan ibadat yang diwajibkan kepada kita, kita haruslah melakukan ibadat-ibadat sunat yang lain untuk menampung kekurangan yang ada dalam ibadat wajib kita.

Jadi, saya amat mengesyorkan Solat Sunat Dhuha dimasukkan dalam ‘bucket list’ ibadah kita. Biar amalan kita ditambah sedikit demi sedikit namun berterusan dengan adanya ilmu pengetahuan kita terhadapnya.

Kita boleh mulakan dengan melatih diri kita dengan melakukan 2 rakaat sahaja pada awalnya. Nikmat dan rezeki yang Allah beri kepada kita adalah jauh lebih banyak jika hendak dibandingkan dengan solat sunat dua rakaat yang hanya memerlukan 4-5 minit sahaja untuk dilakukan.

Mari kita cuba lakukan dan amalkan, dan lihat bagaimana solat ini merubah hidup kita kearah yang lebih baik! Wallahualam

Cara solat sunat yang lain